CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Tuesday, February 5, 2008

Kemenangan dan Kekalahan....anda menangis?


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh….

Salam perjuangan penuh keharmonian kulayarkan buat semua sahabat yang aku kasihi. Hari ni aku sihat tapi sedikit sedih sebab Skuad Singa Utara kalah hari ni.Tak pelah, namun kehidupan masih perlu diteruskan, betul tak?

Jom kita cakap-cakap tentang " Kemenangan dan Kekalahan " untuk tajuk diskusi kita hari ini.Setiap insan pernah merasai kemenangan dan kekalahan. Tidak kiralah dalam apa jua lapangan sekali pun. Contoh yang terbaik adalah peperangan di zaman Rasul tercinta.Ada peperangan yang Baginda dan para sahabat menang dengan gemilang dan ada juga peperangan yang mereka dikalahkan oleh musuh yang tidak berhati perut. Bagi yang berpolitik ada yang menang bertanding dan ada yang tidak. Begitulah sunnatullah yang telah tertulis di Lauhil Mahfudz.Setiap kemenangan pastinya diiringi dengan kesungguhan dan keazaman membara di samping melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh. Ya, memang betul sekiranya kita katakan itu adalah taqdir yang telah tertulis di sisi Allah yang perlu kita terima.Namun usaha yang murni amat diperlukan kerana Allah S.W.T tidak akan merubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang mengubahnya. Tetapi disebalik kemenangan yang murni terselit juga kemenangan yang menggunakan cara kotor, contohnya memberi makan suap dan ugutan.Tauladan yang paling dekat sekarang ini, dapat kita lihat bagaimana Amerika yang senantiasa menggunakan taktik kotor untuk menegakkan kemenangan dan kebenaran mereka. Mereka ini diibaratkan ikan-ikan paus yang menelan anak-anak bilis yang tiada upaya.Kemenangan sebegini pastinya tidak dipandang oleh yang maha kuasa dan sesungghnya ia akan mengundang murka dan tidak akan sama sekali diredhai. Sesungguhnya orang yang menang itu adalah mereka yang bertaqwa!!! Anda inginkan kejayaan? Berusahalah bersungguh-sungguh dan teruskanlah mengharap daripada Sang Khaliq kerana dialah yang penentu segala sesuatu. Oklah, kita cakap tentang kekalahan pula. Di sebailk kekalahan pastinya terlindung seribu satu sebab dan musabab. Mungkin kita tidak cukup bersedia, mungkin juga kita meletakkan keyakinan mengatasi kemampuan dan mungkin juga kurangnya pengharapan kita kepada Sang Pemberi Rezeki. Seandainya kita mengalami kekalahan kita tidak seharusnya terus mengalah tetapi kita perlu kuatkan tekad dan semangat. Teringat kisah seorang sahabat yang kalah dalam pertandingan berpidato,beliau tidak berputus asa dan senantiasa meningkatkan prestasi berpidato sehingga suatu ketika beliau dapat merangkul tempat pertama dalam pertandingan berpidato peringkat kebangasaan. Sewaktu nemanya diumum sebagai pemenang, mata beliau bersinar-sinar dan itulah hasilnya setelah berhempas-pulas selama beberapa tahun. Beliau telah membuktikan " sekali kita kalah bukan bererti kita kalah buat selamanya ". Oklah aku pasti, disebalik setiap kemenangan dan kekalahan terlindung seribu satu hikmah yang dapat kita jadikan panduan,pedoman dan tauladan.

Oklah cerita sikit tentang sepanjang hari ini. Aku ke Stadium Abbasiah untuk memberikan sokongan kepada skuad Singa Utara. Nasib tidak menyebelahi mereka,dan hari ini mereka kalah dengan skuad pilihan dari Mansurah. Aku sempat berseloroh dengan seorang sahabat, andai katalah bola itu bersegi mesti senang sekali untuk bermain, tapi telah tertulis di azali bola itu bulat, mestilah bergolek-golek dan perlu dikawal serta memerlukan kesungguhan supaya bola tak terlepas ke kaki lawan. Hehe…apa pun tahniah dia atas kesungguhan yang ditunjukkan. InsyaAllah lain kali cuba lagi ya. Satu lagi, Selepas berhempas-pulas memberi sokongan kepada skuad singa utara, aku,Ustaz Latib dan Aisam ke Hussain mencari kain untuk buat baju AJKT. Fuuhhhh…..rambang mata bila tengok kain-kain kat sana. Akhirnya adalah satu warna yang memikat jiwa. Warna tu ada kat atas. Sahabat-sahabat boleh tengok.tak jadi baju lagi, harap-harap bila dah jadi baju nanti akan bertambah serinya. Oklah sampai di sini dulu aku coretkan .Di lain masa,ada kesempatan akan aku coret lagi ya!!

Kata Hikmah Hari Ini : " Hendaklah kamu memakai wangi-wangian istighfar supaya bau dosa tidak membuka keaiban kamu ". Saidina Ali K.W.H

Monday, February 4, 2008

" Teguran "....Berhikmah @ Berkasar?

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh…

Salam Perjuangan buat semua sahabat penerus salasilah sebaran dakwah Rasul tercinta Muhammad S.A.W. Kudoakan agar semuanya sihat sejahtera di samping si dia yang tercinta.Aku macam biasa, sihat Alhamdulillah…

Hari ini mari sama-sama kita berbincang mengenai satu topik yang berbunyi " teguran ". mmm…Bagi aku teguran ini dapat dibahagikan kepada beberapa persepsi. Antaranya ada teguran yang membina dan ada juga teguran yang memberi tekanan. Orang yang memikirkan sesuatu teguran itu ke arah yang positif, dia adalah seorang yang ingin maju dan terus melangkah ke hadapan. Bagi yang mengambilnya sebagai suatu yang negatif,dia mungkin tergolong dalam golongan yang agak sukar untuk menerima perubahan, atau agak sedikit lambat untuk menerimanya. Oklah, cara untuk menegur juga banyak diperbincangkan. Antaranya menegur scara terus tanpa ada lapik yang dapat menyedapkan telinga. Cara ini mungkin agak sukar untuk diterima oleh si dia yang ditegur. Tetapi ada juga mereka yang lebih senang ditegur secara perli atau pun menggunakan simbolik, bak kata pepatah" Siapa yang makan cili dialah yang terasa pedasnya". Namun bagi aku menegur secara hikmah dan lemah lembut mungkin lebih praktikal jika dibandingkan dengan menegur secara keras.Ketika menegur jauhkan emosi daripada menguasai diri dan elakkan daripada nafsu menunda akal. Satu contoh, Ketika cucu nabi Hasan dan Husain ingin menegur seorang tua yang mengambil wudhu' dengan cara yang salah. Mereka berfkir bagaimana tidak mahu menyentuh hati si tua apabila ditegur. Timbullah satu idea yang bernas, tatkala si tua mengambil wudhu', Hasan akan mengajar Husain mengambil wudhu' berhampiran si tua dengan menggunakan suara yang agak tinggi sehingga memungkinkan si tua dapat mendengar apa yang diajar oleh Hasan kepada Husain.K eesokan harinya mereka mendapati si tua mengambil wudhu' dengan betul dan beryukur si tua dapat diubah tanpa melukakan hatinya. Begitulah al-kisahnya yang dapat kita ambil manfaat, bila menegur seseorang kita perlu kenal pasti jenis manusia yang hendak ditegur. Silap-silap haribulan melayang tapak tangannya di muka kita.Oklah, aku sarankan kepada semua apabila nak menegur sesiapa lepas ni, niatkan ikhlas kerana Allah moga-moga orang yang ditegur dapat berubah daripada yang buruk kepada yang lebih baik.

Cerita sikit pasal hari ni. Skuad singa Utara Seri lagi hari ini apabila bertemu dengan Wilayah Persekutuan.0-0 sama macam kelmarin semasa bertemu Damanhur. Seorang sahabat skuad singa utara datang berjumpa aku melaporkan keputusan perlawanan ,seribu kesedihan aku lihat terlukis di wajahnya. Aku tahu yang dia dah bersungguh-sungguh, tapi al maklumlah bola tu bulat, apa-apa pun boleh terjadi. Jadi, lepas ni kuatkan semangat dan terus berusaha bukan setakat jasmani perlu disiapkan, tetapi juga kekuatan dalaman yang mana perlu kepada doa dan tawakkal kepada Allah.S.W.T. Contoh yang terbaik dapat dilihat, bagaimana Salahuddin Al Ayyubi memilih mereka-meraka yang hidupkan malam untuk turun ke medan perang keesokan harinya. Kalau tak keberatan, Pengurus @ Jurulatih dapat pantau mana-mana anak buah yang bangun malam untuk bermain pada esok hari ya.Oklah moga boleh lakukan yang terbaik esok ya…doaku mengiringi perjuangan kalian.

Kata Hikmah Hari Ini : " Sifat kagum dan bangga terhadap diri sendiri menyekat peningkatan prestasi diri " Saidina Ali K.W.H

Sunday, February 3, 2008

Kasihnya ibu...membawa ke syurga


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuhu Wamaghfiratuhu Waridhwanuhu……

Apa khabar kawan-kawan semua? Aku sihat Alhamdulillah…..dan aku harap kawan-kawan pun sihat di bawah payungan rahmat Allah yang Maha Esa.

Dah lama kan kita tak bersua. Banyak benda yang aku nak sembangkan, tapi hari ni aku nak ajak semua sembang pasal " Kasihnya ibu ".mmm…..Sebak pulak nak tulis pasal ibu ni, dan satu lagi teringatlah ibu kat Malaysia nun jauh di sana…Al-kisahnya, hari ni aku rasa semacam je…sejak dari pagi. Hati terasa bagai diketuk untuk menghubungi emak di rumah, tapi aku cuba untuk tak hubungi sebab, waktu tu dah agak lewat dan takut-takut ganggu mak dah nak tidur….tapi, runtunan semakin hebat….aku akur juga melangkahkan kaki keluar telefon. Cubaan sekali lagi menduga…koneksi internet tidak mengizinkan untuk aku hubungi emak.Menurut sahabat baik aku ustaz Al Pahmi…gangguan koneksi internet berlaku mungkin dalam masa seminggu ni, diakibatkan oleh sistem di pengkalan laut mediteranean sedikit terjejas . Tapi, aku tetap terus mencuba dan mengharapkan keajaiban yang memungkinkan aku dapat berbicara dengan emak di rumah. 15 kali aku mendail, akhirnya…..suara emak muncul di hujung talian. Alhamdulillah…..kupanjatkan kesyukuran buat Rabbul Jalil sebab memberikan kesempatan mendengar suara emak. Serta-merta keresahan,kegundahan,kesedihan dan kekusutan yang aku rasai sejak pagi tadi hilang ditelan keseronokan setelah berbicara dengan emak.Fuuuhhh….itulah kasihnya ibu dapat mengatasi segalanya.Banyaklah yang aku sembangkan dengan emak…terubat rasanya kerinduan. Oklah sahabat-sahabat rasanya benda macam ni pernah terjadi kepada kita semua. Siapalah yang tak sayangkan ibunya kan? Aku percaya setiap di antara kita senantiasa menanamkam azam untuk berbakti kepada kedua ibu bapa. Sama-samalah kita doakan agar kita dikurniakan saat tersebut yang di mana kita dapat memberi sepenuh perhatian kepada mereka berdua. Beberapa hari lepas seorang sahabat berseloroh seandainya tak dapat berbakti dan membalas budi kepada kedua ibu-bapa. Aku ingatkan dia, tak semestinya kita nak limpah-ruahkan ibu-bapa kita dengan kesenangan dan kekayaan semata, tapi doa daripada seorang anak yang soleh pastinya sudah menyejukkan hati seorang ibu dan ayah. Tak dapat berbakti di dunia, doalah agar kita dapat berkhidmat kepada mereka di akhirat nanti InsyaAllah…Ok lah sahabat-sahabat, nak cakap pasal jasa dan pengorbanan ayah ibu ni pastinya banyak sekali. Aku rasa kita sebagai anak perlulah senantiasa mendoakan kebahagiaan mereka di dunia dan di akhirat kan!!!...

Oklah cerita sikit tentang beberapa hari ni. Aku dan kawan -kawan exco dah keluar tangkap gambar untuk buat carta organisasi. Rasa seronok bila dapat tangkap gambar ramai-ramai dan rasa kasih-sayang Allah senantiasa bersama kita.Walaupun berbeza dermaga untuk kita berlabuh tapi kita tetap menuju kepada Allah yang esa. Terima kasih wahai tuhan kau kurniakan aku nikmat ini.Alhamdulillah……………………..oklah nanti aku posting lagi yah!!!! Satu lagi, terima kasih kepada yang sudi membaca, dan bagilah komen sikit kot-kot lepas ni aku boleh tulis dengan lebih baik lagi.

Kata Hikmah Hari Ini: " Hikmah adalah milik orang beriman yang hilang." Saidina Ali K.W.H

Tuesday, January 29, 2008

" Tekanan "...diselesaikan vs dipandang sepi


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Cantik sungguh si anak dara,

Jalan melenggang di tepi sawah,

Salam kuhulur pembuka bicara,

Pengikat cinta penyubur ukhuwwah.

Salam penuh kasih-sayang aku layarkan buat semua sahabat-sahabat.Kuharapkan agar semua berada dalam keadaan yang aman dan sejahtera.Ku memohon jutaan kemaafan yang tidak terhingga sebab lama tak update blog ni. Maklumlah lepas imtihan banyak kerja nak kena buat dan langsaikan.

Oklah, aku nak ajak semua sembang pasal " tekanan ". mmmm…….tekanan ni bagi aku, datang daripada masalah-masalah tak kiralah dalaman atau pun luaran. Kadang-kadang ianya datang daripada lambakan kerja yang tertunda dan banyak masalah. Kadang-kadang tu pulak tekanan ni datang daripada diri sendiri dan satu masa lain datang daripada orang lain. Kalau datang daripada diri sendiri tak pe lah sangat. Tapi kalau datang daripada orang lain paling aku benci. Orang yang suka bagi tekanan kat orang lain ni adalah orang yang memang tak berhati perut. Dia ni memang tak tahu nak menilai hati dan perasaan orang lain. Kawan-kawan aku banyak yang macam tu. Dahlah bodoh sombong, kemudian nak mengatur itu dan ini.Fuuuhhhh…….tensionnya tak tahu nak ceritakan. Oklah aku fokuskan pada sorangg kawan yang bernama " N " ni. Kalau pasal main bola….fuhhhhhhhhhhhhh…..tak kira hujan,panas,petir,halilintar,rebut dan taufan tetap diredahi demi melaksanakan tuntutan bola yang bulat tu. Kalau dia buat kerja dia tu tak pa lah, tapi suka bagi tekanan kat orang. Kata orang lain tak pandai main dan sebagainya. Hmmmmm…..macamlah dia main best sangat. Satu lagi suka merungut yang tu tak cukuplah, yang ni tak cukup, nak bola baru, nak tiang gol baru, nak jersi baru dan macam macam barulah kiranya. Peliknya dia main bola tu sama taraf dengan dia punya belajar tak pelah jugak, ni belajar ke mana, bola ke mana. Balik Malaysia lagi baiklah cik N oi. Itu satu tekanan, yang lain pulak pasal kerja-kerja persatuan yang menimbun, tapi tekanan ni aku tak kisah sangat, sebab ianya amanah untuk membawa ummah. Banyak keinginan sahabat-sahabat yang ingin aku penuhi, Tapi adakah setiap keinginan itu perlu dikabulkan? Sama-samalah kita fikirkan. Satu yang dapat aku katakan, nak mengubah sesesorang tu bukan seperti membalik-balikkan tapak tangan, tapi wajarkah kita mendiamkan tangan tanpa berbuat apa-apa untuk dia berubah sedikit demi sedikit. Oklah, bagi aku tekanan yang dihadapi tidak mungkin dipandang sepi tapi perlu kepada usaha yang tidak bertepi, demi memastikan tekanan yang datang dapat dihadapi.Ffuuuuuhhh…..Leganya dapat melepaskan geram…maaf kepada yang terasa ya….jangan cepat melenting tapi fikir-fikirkan ya…

Oklah cerita sikit pasal minggu-minggu yang aku lalui. Sekarang sedang berlangsung pameran buku, banyak juga buku yang aku cadang nak beli. Mungkin hari ni aku akan cuba beli mana yang mampu. Oklah setakat ini dahulu aku coretkan . Seandainya ada waktu terluang aku akan posting lagi.

Kata Hikmah Hari Ini : " Nasihat di tengah khalayak ramai itu adalah satu celaan." Saidina Ali K.W.H

Friday, January 25, 2008

Penting Diri...Mampukah dihindari?

Assalamualaikum…..

Apa khabar kawan kawan semua? Aku harap semua baik-baik belaka..Aku ok ja, Cuma agak kepenatan sebab buat kerja berat hari ni. Rasa sengal-sengal sendi pun ada…Tapi apa pun tetap maintain…………..hehehe

Hari ni aku nak ajak kawan-kawan bercerita tentang " Penting Diri". Mmm….kalaulah hidup kita ini hanya bersendiriann pasti kita tak perlu fikirkan tentang orang lain dan pastinya tiada orang yang akan menganggap kita sebagai seorang yang penting diri. Tapi hakikatnya, kita hidup beramai-ramai dan saling memerlukan. Seandainya sikap penting diri ini kita amalkan, kelak kita akan dilabelkan sebagai kera sumbang yang tak mahu berdunia dengan orang lain. Kadang-kadang aku tak terlepas daripada sikap ni. Banyak juga benda yang aku terlalu mementingkan diri aku, dan aku tak pasti semua yang terjadi dalam keadaan sedar ataupun tidak. Moga-moga aku dapat kurangkan perangai ni. Mmmm…..sebentar tadi aku baru selesai menonton sinetron yang bertajuk " Andaiku tahu ". Modius operandi yang digunakan sangat ringkas dan membawa makna yang mendalam. Sinetron menggambarkan tentang seorang anak yang senantiasa mementingkan kebahagiaan bondanya, sehingga sanggup lakukan apa saja demi memastikan senyum ibunya tidak lekang di bibir. Si ibu pun begitu juga, asyik memikirkan tentang anak dan diri sentiasa dirundung kesedihan dan keresahan….mmm…Bahagianya orang dalam cerita ni…mesti diorang hidup dalam keadaan aman sentosa sebab, tiada orang yang mementingkan diri. Asyik memikirkan hal orang lain dan berkorban demi orang yang tercinta.Fuhhh….susah tu kalau nak diadaptasikan dalam kehidupan. Sekarang ni ramai orang yang sentiasa memikirkan sesuatu untuk kepentingan diri sendiri walaupun menggunakan jalan belakang. Kalau korang nak tahu, sinetron tu 23 episod…hmmm…boleh kata setiap episode air mata menitis..hehehe…betul tak rosman? Betul tak nizam? Hehehe…. Oklah, aku pun tak nafikan yang kadang-kadang aku terikut hawa nafsu untuk kepentingan diri sendiri, tapi InsyaAllah aku akan cuba kikis benda ni demi memastikan aku dan kawan-kawan aku di rumah ni dapat hidup dalam keadaan aman dan sentosa….

Hari ni, aku dan kawan-kawan lain bantu bang long pindahkan barang dari hayyu asyir ke Abbas Aqqad. Tu yang sengal-sengal tulang malam ni. Dah lama Rumah Perlis tu terbiar, eloklah bang long duduk dan tolong jaga rumah tu. Kadang-kadang rasa tempias dengan pepatah " Sudah dapat gading bertuah, Tanduk dilupakan ".mana taknya, dah dapat rumah baru, rumah lama dilupakan. Sepatutnya kita kena jaga rumah tu sebab disitulah bersemadinya kisah susah dan senang kita dahulu..Oklah hari pun dah larut, mata pun dah kuyu, andainya ada masa di lain waktu aku akan cuba mencoret la ya…

Kata Hikmah Hari Ini : " Tidak ada kemuliaan yang melebihi ketakwaan." Saidina Ali K.W.H

Thursday, January 24, 2008

Cinta dan Kasih Sayang....Teori dan Adaptasi....

Salamullahi 'alaikum warahmatuhu wabarakatuh…

Kuhulurkan sejuta salam mahabbah buat semua sahabat-sahabat yang aku kagumi. Kuharapkan agar semua sihat-sihat belaka di samping insan yang disayangi. Aku ok je, sihat seperti biasa dan rasa macam bertambah sihat.hehehe…

Oklah, hari ni aku nak ajak kawan-kawan sembang pasal cinta dan kasih sayang.mmm….benda ni kalau dibincangkan pasti panjang lebar dan banyak penafsirannya. Oklah, aku cakap berdasarkan pandangan dan penaakulan aku je ya. Kalau ada yang tak kena, maaflah ya…Bagi aku cinta dan kasih sayang tu penting dalam kehidupan kita. Tanpa cinta dan kasih –sayang dunia ni akan jadi sunyi dan kosong.teringat aku zaman sekolah dulu, aku diajar senior menyanyikan lagu ni

Cinta kepada Allah,Cinta Rasul,Cinta Ibu Bapa,Cinta Kepada Ummah,Cinta Kepada Kecemerlangan…..

mmmm……Cinta yang diatur dalam lirik lagu ni, adalah tingkat kecintaan kita yang perlu kita aturkan. Mmm…..aku tertanya-tanya adakah sudah mendalam cintaku kepada semua di atas?Kadang-kadang bingung jugak memikirkan benda ni.Tapi tak dapat tidak, aku perlu mencintai semua di atas…mmm…tu tak termasuk cinta kepada yang berlawanan jantina lagi.kalau dicampur-adukkan pasti berkecamuk hati dan perasaan. Aku dapat lihat benda ni kat kawan-kawan yang terdekat aku. Mereka memikirkan benda ni secara penuh perasaan sehinggakan kadang-kadang terganggu ubudiyah dan kehambaan kepada sang Khaliq.Ada jugak di antara mereka yang sanggup bergolok-bergadai untuk memastikan kekasih hati sentiasa melekat di hati dan tak mencari yang lain. Tak terfikirkah kita tentang Sang Khaliq yang Maha Esa itulah yang memiliki Hati-hati hamba-Nya? Bagi aku tak perlu terlalu asyik dilamun cinta yang kita sendiri tak tahu hala tujunya.mmm….mesti ada yang kata, "ish pelik nya dia ni, tak de nafsu ke apa?"….Fuuhhh tak tahu nak cakaplah, tapi bagi aku masa yang seperti itu InsyaAllah akan datang satu ketika nanti dan diri kita sendirilah yang akan menentu dan mencorakkannya, Adakah ianya di bawah Rahmat Allah ataupun murka-Nya.Oklah, mual pulak sembang bab ni….lebih elok kita sama-sama berkasih sayang hanyasanya kerana Allah. mungkin nanti di Akhirat kelak kita tergolong di kalangan mereka-mereka yang memperolehi lindungan Allah… mmmm…

Cerita sikit pasal hari ni, aku diziarahi oleh seorang kawan dari Nigeria. Namanya Ridhwan, baik orangnya, murni akhlaknya, Manis senyumannya walaupun kami berlainan warna kulit.Tapi itu bukan ukurannya, hanyalah taqwa nilaian di sisi Allah. Sebenarnya Ridhwan ni aku dah kenal dia semasa kami di tahun satu dulu, dan kami terpisah lebih 3 tahun, Alhamdulillah dengan izin Rabbul jalil, kami diketemukan semula baru-baru ni. Pada mulanya aku kurang ingat, tapi dia mengingatiku secara jelas,tempatnya,namaku, dan keadaan aku pada masa tu. Selang beberapa hari aku teringat kembali saat pertemuan itu, kami berbicara menggunakan bahasa inggeris, Ya…English..!!! Dia tergelak bila aku menceritakan tentang saat itu.mmm….tapi sekarang ni kami lebih selesa berbahasa arab, ianya lebih mudah dan menyenangkan. Oklah dah mengantuk, insyaAllah lain kali aku coret lagi ya..

Kata Himah Hari Ini : " Tidak ada kesentosaan bersama kedengkian." Saidina Ali K.W.H

Wednesday, January 23, 2008

Persahabatan..." memberi dan menerima "

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh……

Apa khabar sahabat-sahabat semua?…Aku sihat Alhamdulillah,mmm…..lama juga ya aku tinggalkan blog ni. Agak-agaknya dah bersawang teruk. Tapi insyaAllah aku akan cuba cuci semua sawang yang ada dengan kembali membuat coretan….

Alhamdulillah dengan izin Sang Khaliq dapat aku selesaikan semua kertas peperiksaan dengan selamat. Selamat, selamat jugak tapi hati nurani terjentik satu kerisauan menunggu terzahirnya natijah nanti. Moga-moga Allah memberi kejayaan yang cemerlang buat kita semua. Kertas sudah dihantar. Selepas melalui Tangga Usaha, Tingkat Ujian dan sekarang ni Aku perlu melalui Laman Doa, dengan harapan Tuhan Rabbul Jalil akan memakbulkan segala yang diimpi…Amiiinn….

Oklah, kali ni aku nak ajak kengkawan sembang sikit pasal Persahabatan. Aku fokuskan di sini tentang persahabatan dengan satu ungkapan, "memberi dan menerima".mmm…bagi aku persahabatan yang kita jalinkan perlu belandaskan keikhlasan yang murni. Kita bersahabat bukanlah kerana harta, pangkat,rupa paras dan warna kulit. Tapi kita bersahabat adalah kerana kejujuran dan kesetian. Paling penting bagi aku ketulusan hati dan sanggup bersama-sama dalam susah dan senang.mmm…kawan yang ketawa pasti ramai dan mudah dicari, tapi kawan yang sanggup bersama melalui jerih perit,suka dan duka amat sedikit dan susah nak dicari. Kawan yang baik adalah yang mudah memberi dan mudah menerima ataupun yang mudah memberi dan sedikit Payah untuk menerima.mmm…Aku pelik, kadang –kadang ada jugak kawan-kawan yang asyik menerima, tapi susah sungguh untuk memberi. Konteks memberi yang aku maksudkan teramat luas.Sebagai contoh, aku ada seorang kawan, seingat aku semenjak aku berkawan dengan dia, aku asyik memberi kepada dia dan dia pula asyik menerima daripada aku. Tak kiralah apa pun yang aku beri, daripada wang ringgit, masa, harta benda, sabun,minyak rambut, ubat gigi, shampoo dan sebagainya, aku tak pernah menerima walaupun secebis ucapan terima kasih. Fuuhhhh…..sedihnya, tapi aku diamkan sebab tak sampai hati nak merungut, sebab…ahhh…tak tahu nak cakaplah. Itulah yang aku maksudkan konteks memberi yang amat luas. Bukan sekadar membalas budi dengan wang ringgit atau kebendaan. Bagi aku cukuplah dengan ucapan terima kasih dan sekuntum senyuman. Satu lagi, aku ada jugak kawan yang asyik memberi aje kerja dia….macam-macam dia bagi,duit la,makanan la,buku la dan macam-macam lagi, dan dia ni jugak pantang aku mintak tolong mesti laju je dia nak tolong….fuhhh….yang ni baik sangatlah pulak, kadang-kadang rasa macam rimas….sampai aku pun tak tahu macam mana nak balas budi baik dia. Kalau nak dihitung dah boleh jadi dua biji gunung kebaikan yang dia buat kat aku. Tapi aku sentiasa dan tidak lupa untuk ucap terima kasih dan menghargai dia. Wahhh…banyak pulak aku mengomel, macam tak puas hati kat seseorang pun ada.tapi…Biarlah Rahsia……hehehe…Jadi sekarang ni aku nak ajak kengkawan semua, bersahabat tu biarlah sentiasa memberi dan menerima, insyaAllah jalinan yang terbina akan kukuh buat selamanya dan bersahabatlah kerana Allah kerana itulah yang seindah dan sebaiknya…………

Oklah, rasa macam dah terlepas sedikit beban bila dapat mencoret dalam blog ni. Mmm..nanti bila ada masa lagi, aku akan cuba tulis lagi ya…

Kata Hikmah hari ini : " Peribadi seseorang itu tersembunyi di bawah lisannya ". Saidina Ali K.W.H